Saturday, 28 June 2014

Iraq Bahagian I: Hubungan Syiah Dan Sunni Semasa dan Selepas Era Saddam Hussein

Republik Iraq merupakan sebuah negara yang terletak di Timur Tengah dengan keluasan 438,317 km2 dan mempunyai populasi sekitar 32 juta orang (The World Factbook 2013). Kedudukannya di rantau yang sering bergolak menyebabkan penglibatan Iraq dalam kancah politik antarabangsa tidak dapat diabaikan. Iraq bersempadan dengan beberapa negara jiran yang bertukar ganti menjadi rakan dan musuh tidak kira di medan perang ataupun politik. Ia pernah berperang dengan hampir kesemua jirannya iaitu Transjordan (1941), Iran (1980-1988), Kuwait (1990-1991), Arab Saudi (1990-1991) dan Syria (1990-1991). Hanya Turki yang belum pernah menjadi seteru langsung Iraq selepas ia mencapai kemerdekaan pada tahun 1932. Perlu diingatkan juga negara-negara seperti Syria dan Jordan pernah menjadi sekutunya terutama semasa perang menentang Israel. Selain Israel, Iraq juga pernah berperang dengan hampir kesemua negara Liga Arab yang lain seperti Mesir, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Menariknya, kebanyakkan negara yang pernah berperang dengan Iraq pada saat ini menganggotai pertubuhan serantau yang sama seperti Liga Arab. Jadi sesungguhnya perjalanan dan peranan politik Iraq mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan politik dunia terutamanya di Timur Tengah.

Selain hubungan antarabangsa, demografi penduduknya menyebabkan negara ini perlu menjadi kajian kita. Secara umum, demografi Iraq boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Syiah, Sunni dan Kurdish. Daripada 97% populasi yang beragama Islam, Syiah membentuk kumpulan majoriti iaitu sebanyak 60-65% manakala Sunni seramai 32-37% (The World Factbook 2013). Selebihnya adalah beragama Kristian. Dalam Jadual 1.1 menunjukkan Iraq sebagai negara ke-11 terbesar dari segi penganut Islam pada tahun 2013 dan ke-4 terbesar di dunia dari segi jumlah penganut Syiah seperti dalam Jadual 1.2.

Konflik dalaman Iraq merupakan satu konflik yang kompleks kerana membabitkan tiga kumpulan yang dikelaskan sebagai Islam. Walaupun konflik utama merupakan konflik antara Syiah dan Sunni, namun kehadiran etnik Kurdish sering kali memberi impak yang besar dalam politik Iraq. Peperangan dengan kumpulan Kurdish yang memperjuangkan kemerdekaan mereka masih terus berlaku sehingga ke hari ini. Mengikut rekod, perang kerajaan Iraq dan Kurdistan ini telah bermula semasa Perang Kurdish-Iraq Pertama pada tahun 1961 yang berakhir dengan termeterainya perjanjian damai yang memberi lebih kuasa autonomi kepada puak Kurdish. Semasa Perang Iran-Iraq 1980-1988 pula, puak Kurdish dibawah pertubuhan Parti Demokratik Kurdistan (KDP) telah berperang bagi pihak Iran. Ini menjelaskan lagi konflik etnik yang masih belum selesai itu. Dalam konflik yang dikenali sebagai Intifada Syaaban 1991, kerajaan dan KDP sekali lagi berperang sehingga menyebabkan dua juta orang menjadi pelarian. Jadi, terdapat dua konflik utama iaitu konflik keagamaan dan konflik etnik menjadikan politik dan social masyarakat yang sukar untuk ditangani.

Kajian mengenai Iraq sangat penting memandangkan kedudukannya di rantau yang menarik perhatian masyarakat dunia. Jadi, konflik dalaman yang berlaku sudah pasti memberi kesan kepada penglibatan Iraq dalam politik serantau. Selain itu, pertikaian yang berlaku antara Syiah dan Sunni di sana boleh memberi gambaran kepada kita mengenai konflik antara dua kumpulan terbesar Islam ini yang berlaku di seluruh dunia. Lebih penting lagi, senario yang berlaku di Malaysia hari ini dimana isu Syiah menjadi tajuk perbualan hangat sudah pasti memberi kesan kepada rakyat Malaysia untuk mendalami konflik ini dengan lebih bersungguh-sungguh. Terdapat juga pendapat yang menyokong Saddam Hussein yang dikatakan bertindak kejam terhadap penganut Syiah atas nama perjuangan Islam. Ada pula yang menyangkal kekejaman yang dilaporkan itu kerana beranggapan itu satu usaha untuk memecahbelahkan umat Islam hari ini. Selain itu, adakah benar konflik yang berlaku semasa zaman Saddam itu merupakan konflik dalaman yang tidak mempunyai kaitan dengan Syiah dan Sunni. Dimanakah letaknya kebenaran kepada pandangan-pandangan ini?

No comments:

Post a Comment