Thursday, 26 June 2014

Asal Usul Orang Melayu: Kajian Semula

Teori-teori yang dikemukan oleh Kern dan Heine-Geldern telah lama diterima oleh rakyat Malaysia. Malah, ia telah dibincangkan di dalam teks-teks sejarah yang digunapakai di sekolah-sekolah. Umumnya, teori-teori ini mempunyai beberapa persamaan. Pertama, kedua-dua teori ini menyokong spekulasi bahawa nenek moyang orang Melayu berasal dari satu kawasan di bahagian selatan China. Kedua, kedua-dua pengkaji bukanlah pengkaji yang berasal dari Nusantara. Malah, mereka tidak pula datang dan menyiasat sendiri dengan lebih terperinci akan spekulasi yang diutarakan. Ketiga, hasil kajian mereka bertitik tolak dari pandangan mereka setelah membuat rumusan tentang aspek fizikal seperti bahan-bahan artifak yang dijumpai. Keempat, mereka merupakan antara pelopor awal kajian ini secara spesifik. Ini menyebabkan hasil kajian tidak semestinya mendapat pandangan atau kritikal awal dari sarjana-sarjana lain.

Kemunculan Orietalisme
Edward Said menulis pada tahun 1978 tentang "orientalisme" iaitu istilah yang digunakan merujuk kepada kajian orang Barat tentang dunia Timur. Kajiannya merumuskan bahawa Barat telah mencorakkan pemikiran Timur dengan ilmu pengetahuan yang direncana oleh Barat. Ada ilmu ini sengaja diada-adakan ataupun tidak mempunyai kredibiliti ilmuan. Bahan-bahan ini terhasil semata-mata daripada pemahaman Barat yang tidak boleh lari daripada sifat berpihak dan palsu. Hal ini tidak lain demi untuk mengesahkan keunggulan Barat ke atas Timur. Syed Hussein Alatas pula menyebut tentang 'minda tertawan' merujuk kepada pemikiran yang terkongkong oleh sesuatu sehingga menghalang seseorang untuk memajukan diri. Shamsul Amri Baharudin juga bercakap dalam kerangka yang sama iaitu bagaimana epistemologi bangsa terjajah telah dikuasai oleh ilmu kolonial. Untuk itu, penting untuk kita menilai semula pengetahuan yang dilihat janggal ataupun mendapatkan penjelasan lanjut tentang sesuatu. Kajian tentang asal usul orang Melayu ini juga mengambil jalan untuk menilai dan membuat dapatan baharu yang lebih sahih dan kemas.

Rujukan




  

No comments:

Post a Comment