Sunday, 29 June 2014

Versi Microsoft 7

Ramai yang tahu Sistem Pengoperasian (OS) Windows 7 yang digunakan mempunyai pelbagai versi. Versi yang paling popular di Malaysia adalah Home dan Professional. Selain itu, terdapat juga versi Starter, Enterprise dan Ultimate. Microsoft juga telah membahagikan versi Home kepada dua iaitu Home Basic dan Home Premium. Apakah perbezaan antara kesemua versi-versi ini?

Perbezaan utama versi-versi ini adalah dari segi keupayaannya. Keupayaan ini bergantung kepada sejauh mana OS ini dapat digunakan pakai. Ringkasnya, terdapat keupayaan-keupayaan atau aplikasi tertentu yang ditambah atau dikurang bergantung kepada fokus penggunaannya. Lebih kurang keupayaan ini, lebih murah harganya di pasaran. Ini bererti kita dapat membeli versi yang sesuai bergantung kepada penggunaan pada harga yang lebih berpatutan.

Versi paling asas adalah Windows 7 Starter. Kekurangan utama adalah ia hanya dapat menggunakan teknologi 32-bit dan aplikasi paparan yang terhad. Selain tidak dapat menggunakan tema Windows Aero (kecantikan display), pengguna juga tidak dapat mengubah wallpaper. Ia sesuai untuk pelajar dan pengguna komputer yang baharu kerana aplikasi yang dikurangkan itu langsung tidak menjejaskan penggunaan biasa.

Versi yang kedua dan ketiga adalah Windows 7 Home Basic dan Windows 7 Home Premium.  Perbezaan paling ketara antara Home dan Starter ialah keupayaan teknologi 64-bit dan aplikasi Windows Aero. Beza Home Basic dan Home Premium adalah penggunaan Windows Aero yang terhad. Selain itu, Home Basic hanya boleh digunakan di kawasan pasaran baharu (emerging markets). Home Premium pula merupakan versi yang paling banyak digunakan.

Windows 7 Professional pula mempunyai semua aplikasi Home Premium dengan penambahan sistem keselamatan networking dan data. Untuk itu, matlamat pasaran untuk Prossional adalah pengguna perniagaan. Selain itu, kadar RAM maksimum yang boleh digunakan adalah 192 GB berbanding hanya 16 GB untuk versi rendah lain. Ia juga boleh menggunakan keupayaan 'Windos XP Mode' iaitu menjalankan aplikasi yang tidak sesuai untuk OS Vista, 7 dan 8.

Matlamat Windows 7 Enterprise adalah pengguna korporat atau enterprise iaitu jenis perniagaan yang lebih besar. Ia memiliki kontrak Software Assurance (SA) daripada Microsoft untuk memudahkan proses pembelian dan menambah baik sistem sedia ada. Selain itu, apliskasi tambahan adalah seperti Multilingual User Interface (MUI), BitLocker Drive Encryption dan menyokong aplikasi UNIX.

Windows 7 Ultimate pula merupakan versi paling lengkap menyamai Enterprise. Bezanya cuma Ultimate boleh digunakan melalui lesen individu manakala Enterprise hanya boleh digunakan melalui SA ataupun VLK.

Berdasarkan perbezaan keupayaan ini, pemilihan versi yang sesuai adalah bergantung kepada kos dan penggunaan. Bagi pengguna biasa dan pelajar yang mempunayi sumber kewangan terhad, Starter merupakan pilihan yang sesuai. Bagi pengguna harian dan perniagaan berskala kecil, Home dan Professional perlu diutamakan. Bagi sektor atau syarikat yang besar, Enterprise merupakan pilihan yang terbaik. Bagi pengguna yang mahir, sudah tentu akan memilih Ultimate.     


Saturday, 28 June 2014

Iraq Bahagian I: Hubungan Syiah Dan Sunni Semasa dan Selepas Era Saddam Hussein

Republik Iraq merupakan sebuah negara yang terletak di Timur Tengah dengan keluasan 438,317 km2 dan mempunyai populasi sekitar 32 juta orang (The World Factbook 2013). Kedudukannya di rantau yang sering bergolak menyebabkan penglibatan Iraq dalam kancah politik antarabangsa tidak dapat diabaikan. Iraq bersempadan dengan beberapa negara jiran yang bertukar ganti menjadi rakan dan musuh tidak kira di medan perang ataupun politik. Ia pernah berperang dengan hampir kesemua jirannya iaitu Transjordan (1941), Iran (1980-1988), Kuwait (1990-1991), Arab Saudi (1990-1991) dan Syria (1990-1991). Hanya Turki yang belum pernah menjadi seteru langsung Iraq selepas ia mencapai kemerdekaan pada tahun 1932. Perlu diingatkan juga negara-negara seperti Syria dan Jordan pernah menjadi sekutunya terutama semasa perang menentang Israel. Selain Israel, Iraq juga pernah berperang dengan hampir kesemua negara Liga Arab yang lain seperti Mesir, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Menariknya, kebanyakkan negara yang pernah berperang dengan Iraq pada saat ini menganggotai pertubuhan serantau yang sama seperti Liga Arab. Jadi sesungguhnya perjalanan dan peranan politik Iraq mempunyai pengaruh yang besar dalam perkembangan politik dunia terutamanya di Timur Tengah.

Selain hubungan antarabangsa, demografi penduduknya menyebabkan negara ini perlu menjadi kajian kita. Secara umum, demografi Iraq boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Syiah, Sunni dan Kurdish. Daripada 97% populasi yang beragama Islam, Syiah membentuk kumpulan majoriti iaitu sebanyak 60-65% manakala Sunni seramai 32-37% (The World Factbook 2013). Selebihnya adalah beragama Kristian. Dalam Jadual 1.1 menunjukkan Iraq sebagai negara ke-11 terbesar dari segi penganut Islam pada tahun 2013 dan ke-4 terbesar di dunia dari segi jumlah penganut Syiah seperti dalam Jadual 1.2.

Konflik dalaman Iraq merupakan satu konflik yang kompleks kerana membabitkan tiga kumpulan yang dikelaskan sebagai Islam. Walaupun konflik utama merupakan konflik antara Syiah dan Sunni, namun kehadiran etnik Kurdish sering kali memberi impak yang besar dalam politik Iraq. Peperangan dengan kumpulan Kurdish yang memperjuangkan kemerdekaan mereka masih terus berlaku sehingga ke hari ini. Mengikut rekod, perang kerajaan Iraq dan Kurdistan ini telah bermula semasa Perang Kurdish-Iraq Pertama pada tahun 1961 yang berakhir dengan termeterainya perjanjian damai yang memberi lebih kuasa autonomi kepada puak Kurdish. Semasa Perang Iran-Iraq 1980-1988 pula, puak Kurdish dibawah pertubuhan Parti Demokratik Kurdistan (KDP) telah berperang bagi pihak Iran. Ini menjelaskan lagi konflik etnik yang masih belum selesai itu. Dalam konflik yang dikenali sebagai Intifada Syaaban 1991, kerajaan dan KDP sekali lagi berperang sehingga menyebabkan dua juta orang menjadi pelarian. Jadi, terdapat dua konflik utama iaitu konflik keagamaan dan konflik etnik menjadikan politik dan social masyarakat yang sukar untuk ditangani.

Kajian mengenai Iraq sangat penting memandangkan kedudukannya di rantau yang menarik perhatian masyarakat dunia. Jadi, konflik dalaman yang berlaku sudah pasti memberi kesan kepada penglibatan Iraq dalam politik serantau. Selain itu, pertikaian yang berlaku antara Syiah dan Sunni di sana boleh memberi gambaran kepada kita mengenai konflik antara dua kumpulan terbesar Islam ini yang berlaku di seluruh dunia. Lebih penting lagi, senario yang berlaku di Malaysia hari ini dimana isu Syiah menjadi tajuk perbualan hangat sudah pasti memberi kesan kepada rakyat Malaysia untuk mendalami konflik ini dengan lebih bersungguh-sungguh. Terdapat juga pendapat yang menyokong Saddam Hussein yang dikatakan bertindak kejam terhadap penganut Syiah atas nama perjuangan Islam. Ada pula yang menyangkal kekejaman yang dilaporkan itu kerana beranggapan itu satu usaha untuk memecahbelahkan umat Islam hari ini. Selain itu, adakah benar konflik yang berlaku semasa zaman Saddam itu merupakan konflik dalaman yang tidak mempunyai kaitan dengan Syiah dan Sunni. Dimanakah letaknya kebenaran kepada pandangan-pandangan ini?

Friday, 27 June 2014

Kabinet Baharu Najib 2014


Konflik Ukraine


Apa yang berlaku?
Perpecahan negara Eropah Timur ini kepada dua bahagian; pro-Russia dan pro-Barat. Pro-Russia mewakili masyarakat yang bertutur dalam bahasa Russia, menyokong hubungan rapat dengan Russia dan menjauhkan diri daripada Amerika Syarikat dan Eropah Barat lain. Pro-Barat pula mewakili nasionalis Ukraine, menyokong hubungan dengan Amerika Syarikat dan Eropah Barat dan menjauhkan diri daripada Russia. Perpecahan ini terjadi dalam semua kumpulan masyarakat iaitu pemimpin, perngusaha dan rakyat. Kemuncaknya, wilayah Crimea telah mengadakan referendum menuntut kebebasan daripada Ukraine dan menjadi sebahagian daripada Russia. Konflik merebak ke bahagian timur Ukraine yang memiliki sebahagian besar penutur bahasa Russia.

Penutur bahasa Russia dI Ukraine

Kenapa konflik berlaku?
Konflik ini bukanlah perkara yang secara tiba-tiba tercetus. Kita boleh mula melihat keretakan yang muncul sejak Revolusi Oren pada tahun 2004 bagi menuntut pilihan raya presiden yang telus dan adil antara Viktor Yushchenko dan Viktor Yanukovych. Yushchenko merupakan pro-Barat manakala Yanukovych pula pro-Russia. Dalam perebutan jawatan itu, Yushchenko berjaya mengalahkan Yanukovych bererti polisi yang dekat dengan Barat dan jauh dengan Russia. Dalam pilihan raya itu, jelas kelihatan bagaimana perpecahan rakyat terjadi dimana kawasan sebelah timur yang mempunyai ramai penutur bahasa Russia telah memilih Yanukovych.

Dalam Pilihan Raya 2010 pula, Yanukovych pula berjaya mengalahkan calon pro-Barat, Yulia Tymoshenko. Pola mengundian adalah lebih kurang sama dengan pilihan raya presiden lepas. Seperti dijangka, Yanukovych membawa polisi lebih mesra-Russia. Kemuncaknya, Yanukovych telah membatalkan perjanjian penting dengan Kesatuan Eropah (EU) dan memilih untuk memperluas hubungan Ukraine-Russia. Akhirnya tercetuslah demonstrasi besar-besaran bagi menunjukan protes terhadap tindakan kerajaan.

Atas desakan, Yanukovych akhirnya meletak jawatan dan melarikan diri ke Russia. Krisis politik ini akhirnya membawa kepada tragedi yang lebih besar apabila Crimea dan wilayah timuran lain menuntut untuk merdeka.  

Penempatan Israel di Palestin

Penempatan Israel di wilayah jajahan adalah kawasan penduduk yahudi di atas tanah yang dijajah Israel semasa Six Day War 1967. Penempatan ini meliputi kawasan di West Bank, East Jerusalem dan Golan Height. Penempatan seumpama ini juga wujud di Sinai Strip sebelum dikosongkan Israel berikutan perjanjian aman Israel-Mesir 1979. Pada tahun 2005 pula, Israel mengosongkan penempatan mereka di Gaza.

Komuniti antarabangsa menyifatkan penempatan ini  sebagai haram. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 497 menyatakan pengilhakan Bukit Golan oleh Israel pada 1981 sebagai tidak sah. Ini bermakna status Bukit Golan kekal sebagai milik Syria dan kekal sebagai wilayah jajahan Israel. Oleh itu, penempatan Israel tidak boleh dibina di Bukit Golan. Resolusi 446 dan 465 juga menyatakan penempatan Israel di wilayah jajahan yang diperoleh semasa Perang Enam Hari 1967 adalah menyalahi Konvensyen Keempat Geneva. Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga menyatakan penempatan ini adalah meyalahi undang-undang. Tambahan lagi, kesemua negara di dunia juga tidak menyokong tindakan yang dilaksanakan Israel.

Setakat Julai 2012, populasi Yahudi di penempatan seumpama ini adalah seramai 350 150 orang dari 121 penempatan di Tebing Barat, 300 000 orang di Jerusalam Timur dan lebih 20 000 di Bukit Golan.

Adakah Penempatan Israel Di Wilayah Jajahan Sah?
Yasser Arafat membacakan proklamasi kemerdekaan Palestine (State of Palestine) pada 15 November 1988 selepas diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Palestine (Palestine National Council). Beliau kemudiaan memegang jawatan presiden. Berikutan pada itu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly) telah mengadakan undian Resolusi 43/177 pada 15 Disember 1988 yang mengiktiraf kewujudan Negara Palestine. Resolusi ini juga menyatakan kewajaran hak rakyat Palestine ke atas wilayah yang dijajah sejak 1967. Oleh kerana Palestine merupakan sebuah Negara untuk rakyat Palestine, maka tanah jajahan takhluknya adalah sah iaitu meliputi kawasan yang telah dipetakan selepas Perang Enam Hari 1967 (1967 Six-Days War). Jadi selepas pengiktirafan kemerdekaan ini, tanah jajahan ini yang meliputi kawasan Tebing Barat (West Bank) dan Semenanjung Gaza (Gaza Strip) secara rasmi merupakan tanah yang dijajah oleh Israel. Secara teknikal, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza tertakluk kepada undang-undang adat antarabangsa melalui Konvensyen Geneva 1949. Melalui artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat (KG4) berkaitan dengan perlindungan orang awam semasa perang, menjelaskan kuasa penjajah tidak boleh menghantar atau memindahkan populasi awamnya ke dalam wilayah yang dijajah. Hal ini jelas berlaku di Palestine dalam bentuk pembangunan penempatan Israel di wilayah yang dijajah terutama di Tebing Barat.


Israel menafikan penempatan ini telah melanggar KG4. Menurut mereka, pendatang (settler) Yahudi bukan berasal dari Israel dan tidak dipindahkan ke Tebing Barat. Selain itu, Israel mempersoalkan kewajaran KG4 diguna pakai dalam isu Palestine kerana Tebing Barat dan Gaza bukanlah wilayah yang dijajah tetapi wilayah yang dipertikaikan. Oleh kerana wilayah ini dikawal Israel hasil Perang Enam Hari yang pada ketika itu tidak diletakkan dibawah mana-mana kerajaan yang sah, maka wilayah ini tidak dijajah tetapi dipindahkan kawal selia kepada Israel. Tambahan pula, penempatan ini didirikan oleh orang Yahudi dengan rela hati dan bukannya atas dasar politik atau paksaan kerajaan Israel. Pada masa yang sama, kerajaan Israel tidak terlibat dalam usaha menghalau penduduk asal di kawasan penempatan itu.

Thursday, 26 June 2014

Asal Usul Orang Melayu: Kajian Semula

Teori-teori yang dikemukan oleh Kern dan Heine-Geldern telah lama diterima oleh rakyat Malaysia. Malah, ia telah dibincangkan di dalam teks-teks sejarah yang digunapakai di sekolah-sekolah. Umumnya, teori-teori ini mempunyai beberapa persamaan. Pertama, kedua-dua teori ini menyokong spekulasi bahawa nenek moyang orang Melayu berasal dari satu kawasan di bahagian selatan China. Kedua, kedua-dua pengkaji bukanlah pengkaji yang berasal dari Nusantara. Malah, mereka tidak pula datang dan menyiasat sendiri dengan lebih terperinci akan spekulasi yang diutarakan. Ketiga, hasil kajian mereka bertitik tolak dari pandangan mereka setelah membuat rumusan tentang aspek fizikal seperti bahan-bahan artifak yang dijumpai. Keempat, mereka merupakan antara pelopor awal kajian ini secara spesifik. Ini menyebabkan hasil kajian tidak semestinya mendapat pandangan atau kritikal awal dari sarjana-sarjana lain.

Kemunculan Orietalisme
Edward Said menulis pada tahun 1978 tentang "orientalisme" iaitu istilah yang digunakan merujuk kepada kajian orang Barat tentang dunia Timur. Kajiannya merumuskan bahawa Barat telah mencorakkan pemikiran Timur dengan ilmu pengetahuan yang direncana oleh Barat. Ada ilmu ini sengaja diada-adakan ataupun tidak mempunyai kredibiliti ilmuan. Bahan-bahan ini terhasil semata-mata daripada pemahaman Barat yang tidak boleh lari daripada sifat berpihak dan palsu. Hal ini tidak lain demi untuk mengesahkan keunggulan Barat ke atas Timur. Syed Hussein Alatas pula menyebut tentang 'minda tertawan' merujuk kepada pemikiran yang terkongkong oleh sesuatu sehingga menghalang seseorang untuk memajukan diri. Shamsul Amri Baharudin juga bercakap dalam kerangka yang sama iaitu bagaimana epistemologi bangsa terjajah telah dikuasai oleh ilmu kolonial. Untuk itu, penting untuk kita menilai semula pengetahuan yang dilihat janggal ataupun mendapatkan penjelasan lanjut tentang sesuatu. Kajian tentang asal usul orang Melayu ini juga mengambil jalan untuk menilai dan membuat dapatan baharu yang lebih sahih dan kemas.

Rujukan




  

Wednesday, 25 June 2014

Asal Usul Orang Melayu: Teori-teori Popular

Di peringkat sekolah, kita diajar bagaimana pembentukan masyarakat di Malaysia. Bangsa Cina dan India berasal dari China dan India. Kebanyakkannya dibawa masuk oleh British bagi mengusahakan kegiatan ekonomi. Masyarakat Melayu pula dianggap penduduk asal Tanah Melayu kerana telah wujud masyarakat dan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebelum kedatangan penjajah Portugis. Jadi, sejarah kependudukan Melayu mengambil kira pengasasan Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi asas teori yang mengatakan mereka sebagai penduduk asal. Selain itu, Melayu juga sering dibincangkan dalam konteks dunia Nusantara iaitu masyarakat utama yang mendiami apa yang dikenali sebagai Kepulauan Melayu di sekitar rantau Asia Tenggara.

Dalam hal ini, sejarah kependudukan ini tidak semestinya bermula ketika Parameswara mula merajai Melaka. Parameswara datang dari "luar kawasan" iaitu Palembang. Palembang juga termasuk di dalam rantau Nusantara. Apa yang pasti, subjeknya di Melaka yang terdiri daripada masyarakat nelayan merupakan penduduk asal. Jadi, telah wujud masyarakat asal di sekitar Nusantara yang akhirnya membentuk masyarakat yang sedia ada sekarang. Penduduk asal inilah yang membentuk masyarakat Melayu.

Kern: Nenek Moyang Orang Melayu dari Selatan China
Persoalannya pula sekarang, adakah "penduduk asal" itu merupakan penduduk asal sebenar ataupun mereka telah berhijrah dari kawasan lain? Terdapat beberapa teori yang dikaitkan dengan asal usul "penduduk asal" ini. Teori yang popular dan selalunya didengar adalah orang Melayu berasal dari satu kawasan di bahagian selatan China. Sarjana Belanda, Hendrik Kern mengatakan nenek moyang orang Melayu merupakan dari kalangan rumpun penutur bahasa Austronesia. Penutur ini berasal dari satu tempat di antara utara Vietnam dan selatan China bernama Tonkin. Jika Tonkin yang dimaksudkan itu adalah wilayah Tonkin di Vietnam hari ini, maka spekulasi ini merujuk kawasan geografi yang wujud. Kern berhujah bahawa terdapat persamaan perkataan dalam kalangan masyarakat pribumi, tumbuh-tumbuhan, binatang di wilayah itu dengan di Nusantara.
Johan Hendrik Casper Kern
merupakan tokoh linguist dan
orientalist dari Belanda

Teori Persamaan Ciri-ciri Dongsong
Robert von Heine-Geldern pula menyebut nenek moyang orang Melayu sebagai "Melayu-Deutero". Istilah "Deutero" bermaksud penghijrah seperti mana yang perkataan yang digunakan dalam kitab Yahudi, Deuteronomy. Geldern telah membentuk pemikiran bahawa nenek moyang orang Melayu telah berhijrah dari Yunan di selatan China ke seluruh Asia Tenggara, Oceania dan Pasifik sekitar 2,500-1,500 tahun dahulu. Kesimpulan ini dicapai hasil penyelidikannya terhadap bahan pameran yang terdapat di muzium di Vienna, tempat ia bekerja. Artifak pameran berupa bahan logam gangsa yang dijumpai di Asia Tenggara dikatakan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan artifak yang dijumpai di Dongsong, China.




Robert von Heine-Geldern


Peta menunjukkan bagaimana nenek moyang orang Melayu berhijrah dari kawasan sekitar selatan China