Tuesday, 31 March 2015

Antara keperluan internet adalah untuk mendownload. Download atau muat turun bermaksud kita mengambil atau copy sesuatu daripada website atau komputer orang lain. File itu kemudiaanya akan disave ke dalam komputer kita lalu membolehkan kita menggunakan file tersebut. Ini termasuklah file berbentuk document, audio, video, gambar dan sebagainya. Untuk mendownload, browser yang digunakan seperti google chrome, internet explorer dan mozilla berupaya untuk melakukan tugas mencari, meminta dan emmuat naik ke dalam komputer kita. Namun, aktiviti mendownload boleh dipermudahkan atau disingkatkan waktunya dengan menggunakan software-software lain yang dikenali sebagai downloader. Antara downloader yang terkenal adalah Internet Download Manager. Selain itu, terdapat juga software yang berupaya menghubungkan dua buah komputer melalui internet dan memungkinkan pertukaran file di antara keduanya. Teknik mendownload sebegini dikenali sebagai Person to Person (P2P). Torrent merupakan P2P yang sangat popular pada hari ini. Dengan adanya dua jenis alat untuk mendownload ini, kegiatan perkongsian maklumat menjadi semakin mudah, cepat dan meluas. Disebabkan itu juga, kegiatan berkongsi file yang haram dikongsi menjadi semakin berluasa. Selain itu, trafik akibat perkongsian yang pesat ini telah menyebabkan kesesakan trafik semasa dalam aliran internet. Disebabkan itu, PSP seperti Torrent menjadi sasaran Internet Provider ataupun kerajaan dalam mengatasi masalahan kesesakan trafik dan penyebaran file-file haram. Disebabkan itu, Kebanyakan P2P sudah tidak dapat digunakan lagi oleh pengguna. Di Malaysia umpamanya, kebanyakan Torrent telah disekat oleh kerajaan. ISP juga bertindak selari dengan kerajaan kerana aktiviti P2P telah menyebabkan kesesakan kepada emreka sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan yang disediakan. Tindakan pihak berkuasa dan pembekal perkhidmatan ini telah menyusahkan pengguna kerana pengguna tidak mampu lagi berkongsi maklumat atau mendownload file-file yang disukai/ Walau bagaimanpun, kerajaan dan ISP tidak menguasai sepenuhnya dunia maya. Dunia maya merupakan satu tempat abstrak yang tidak mempunyai sempadan peraturan yang jelas. Disebabkan itu, "pengguna" sendiri dapat menghasilkan cara bagi mengatasi sekatan yang dikenakan kerajaan dan ISP. Antara cara yang paling berkesan adalah dengan menggunakan apa yang dikenali sebagai Virtual Private Network (VPN). Mudahnya, VPN berfungsi sebagai alat penyamaran bagi identiti komputer kita. Apabila komputer kita tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa, maka segala sekatan yang dikenakan tidak akan beroperasi. Dengan itu, pengguna yang telah menyamar boleh melakukan aktiviti mendownload yang mereka tidak boleh buat sebelum ini. Pihak yang membekalkan VPN biasanyanya kan mengenakan caj untuk perkhidmatan peenyamaran ini. Namun begotu, terdapat juga VPN Ynag disediakan kepada umum dan tidak dikenakan sebarang caj. Antara yang berkesan adalah VPN Gate yang dibangunkan oleh University of Tsukuba. 

Sunday, 9 November 2014

Pembangunan Keselamatan Singapura dan Kesannya Terhadap Malaysia

Republik Singapura merupakan sebuah negara kepulauan kecil yang terletak di Asia Tenggara, di penghujung Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai keluasan tanah seluas 710.3 km2 dan berpopulasi seramai 5.3 juta orang. Singapura merupakan sebuah negara majmuk dengan tiga kumpulan kaum utama iaitu Cina (74.2%), Melayu (13.3%) dan Indian (9.2%). Ia merupakan sebuah negara industri berpendapatan tinggi, pusat komersial utama dan pusat kewangan keempat terbesar di dunia. Selain itu, Singapura juga terkenal dengan tahap pendidikan, kesihatan dan daya saing ekonomi yang baik. Di peringkat serantau, Singapura merupakan salah satu daripada lima buah negara pengasas Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

            Setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 melalui persekutuannya dengan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura telah keluar daripada gabungan ini pada 9 Ogos 1965. Sejak itu, Singapura mula membangunkan sistem pertahanan dan ketenteraannya bagi memenuhi keperluan keselamatan. Dari segi sejarah, keselamatan dan pertahanan Singapura bergantung kepada British yang memulakan pemerintahan kolonial mereka pada tahun 1819. Pada tahun 1854, Singapore Volunteer Rifle Corps (SVRC) ditubuhkan iaitu satu organisasi sukarela untuk menjamin tahap keselamatan dalaman. Pada tahun 1888 pula, SVRC telah berkembang menjadi Singapore Volunteer Artilery (SVA) dan seterusnya menjadi Singapore Volunteer Corps (SVC). Pada tahun 1922, SVC telah dinamakan sebagai Straits Settlements Volunteer Force (SSVF) yang menggabungkan askar sukarela dari Melaka dan Pulau Pinang.

            Singapura merupakan sebahagian daripada Negeri-negeri Selat (NNS) yang dijadikan sebagai koloni Mahkota dan diletakkan di bawah pentadbiran pejabat kolonial di London. Sejak itu, Singpura telah berkembang menjadi sebuah pelabuahn yang maju dan kaya. Disebabkan kepentingannya yang besar kepada British, British telah melengkapi Singapura dengan sistem pertahanan yang termoden dan paling berkuasa pada ketika itu sehingga digelar "Gibraltar of the East". Pangkalan Tentera Laut Sembawang telah mula dibina pada tahun 1928 dan siap pada tahun 1938 dengan kos pembinaannya dianggarkan mencecah £60 million. Pangkalan tentera laut ini dilengkap dengan dry dock yang terbesar di dunia dan dilindungi oleh 15-inch naval guns. Walau bagaimanapun, ia gagal melindungi Singapura yang jatuh ke tangan Jepun pada tahun 1942. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, barulah Singapura kembali di bawah penguasaan British.

            Singapore Armed Forces (SAF) akhirnya diwujudkan setelah British kembali berkuasa. Pada tahun 1957, batalion pertama askar diwujudkan iaitu 1 SIR diikuti 2 SIR pada tahun 1962. Selepas meninggalkan Malaysia, isu pertahanan dan keselamatan menjadi keutamaan pemimpin Singapura yang hanya dilengkapi sistem pertahanan terhad dengan dua batalion askar sahaja. Sejak itu proses mentransformasi sistem pertahanan dan keselamatan dilakukan dengan giat. dimulakan dengan penubuhan Kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan (MID) pada bulan Ogos 1965. Program "National Service" juga dimulakan dua tahun kemudiaan iaitu salah satu aspek sistem keselamatan Singapura. Tentera laut dan udara juga dibangunkan sehingga berkembang menjadi pasukan moden dan diberi nama Republic of Singapore Navy dan Republik of Singapore Air Force. Akhirnya, Kementerian Pertahanan  (MINDEF) diwujudkan pada tahun 1970 dan mengalami proses pemodenan yang rancak sehingga menjadi pasukan tentera seperti yang ada sekarang.

Sejak merdeka, pasukan keselamatan dan pertahanan Singapura telah berkembang dengan pesatnya. Selain dilengkapi dengan sistem pertahanan yang canggih, ia juga memiliki aset-aset ketenteraan yang berteknologi tinggi. Dalam tempoh 10 tahun (2004-2013), berlaku peningkatan perbelanjaan ketenteraan Singapura daripada S$8.6 billion kepada S$12.2 billion. Perbelanjaan ini mewakili 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu ke-22 di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara (SIPRI, 2013). Menurut laporan SIPRI, Singapura merupakan negara pengimport senjata ke-5 terbesar dunia dalam tempoh 2008-2012 di belakang India, China, Pakistan dan Korea Selatan. Adakah nilai perbelanjaan ini bererti Singapura merupakan kuasa ketenteraan terbesar di Asia Tenggara? Sebagai sebuah negara kepulauan yang kecil dari segi keluasan dan jumlah penduduk, peningkatan pembangunan ketenteraan Singapura menimbulkan tanda tanya akan kerelevanannya. Pelaburan yang besar ini sudah tentu akan menimbulkan persepsi negatif kepada negara jiran terutama Malaysia yang mempunyai sejarah konflik yang banyak dan panjang. Selain itu, perkembangan pertahanan Singapura berkait rapat dengan Israel seolah-olah memperlihatkan kedudukan Singapura yang dikelilingi negara-negara jiran yang tidak mesra dan berupaya mendatangkan ancaman yang besar. Adakah pembelanjaan ini merupakan satu langkah berjaga-jaga hasil persepsi kerajaan yang tidak mempercayai negara jiran?
Adakah Amdocs itu sebuah syarikat Israel?
Ia ditubuhkan pada tahun 1982 di Israel (http://en.wikipedia.org/wiki/Amdocs). Nama Amdocs diilhamkan daripada  Aurec Information and Directory Systems. Aurec Group pula merupakan syarikat induk bagi Golden Pages iaitu sebuah syarikat direktori telefon Israel. Individu penting dalam pengasasannya adalah Boaz Dotan yang menjawat jawatan presiden dan ceo sehingga 1995 (http://www.forbes.com/profile/boaz-dotan/ dan http://www.amdocs.com/About/heritage/Pages/yellow-pages.aspx) . 

Pada tahun 1985, Southwestern Bell telah memperoleh 50% saham Amdocs menjadikannya pemilik utama. Hari ini, ibu pejabat Amdocs terletak di Chesterfield, Missouri dan Saint Peter Port, Guernsey. Dari segi pelaburannya, Amdocs diniagakan di pasaran Nasdaq. Berita mengenai Amdocs juga sering kali disiarkan oleh syarikat berita tertua Israel, Haaretz. Jadi, ada tiga Negara yang boleh dikaitkan dengan Amdocs iaitu Israel, Amerika Syarikat dan Britain. Dalam satu laporan, jelas menunjukkan Amdocs sebagai sebuah syarikat Israel (http://www.haaretz.com/print-edition/business/amdocs-lays-off-500-worldwide-1.256173).

Apakah kaitan Amdocs dan Astro?
Amdocs sememangnya mempunyai rekod besar dalam industri telekomunikasi, media dan hiburan terutama dalam menyediakan perkhidmatan perisian. Sejak penubuhannya. Amdocs telah mengembangkan sayapnya keseluruh dunia termasuklah Malaysia. Ini dapat dibuktikan dengan dokumen umum Suruhanjaya Securities and Exchange Amerika Syarikat (http://secfilings.nasdaq.com/edgar_conv_html%2f2013%2f12%2f09%2f0001193125-13-466872.html#FIS_COMPANY_INFORMATION) yang menyebut ASTRO sebagai antara pelanggan globalnya. Selain itu dalam laporan bertarikh 21 Julai 2004, Haaretz dengan jelas menyebut Amdocs telah berjaya dalam bidaan kontrak dengan ASTRO (http://www.haaretz.com/news/amdocs-bags-malaysian-paytv-contract-with-astro-1.129083). Ketika dihubungi tadi, ASTRO sememangnya mengaku penggunaan sistem Amdocs ini.

Dapatan lain?
Amdocs telah bertapak di Malaysia bukan hanya melalui ASTRO. Hasil kajian mendapati sebuah syarikat yang didaftarkan di Malaysia iaitu CRM Solution Sdn Bhd secara terang-terangan mempunyai kaitan dengan Amdocs (http://jobs.jobstreet.com.my/my/jobs/2326621?fr=21&src=44).

Kesimpulan
1. Amdocs merupakan syarikat Israel.
2. Laporan mengenai pemberian kontrak ASTRO kepada Amdocs sememangnya sahih.
3. ASTRO mengetahui kewujudan Amdocs dan menjelaskan Amdocs sememangnya digunakan dalam operasinya.
4. Keperluan untuk memboikot Amdocs sama seperti syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Israel yang lain seperti McDonald. Malah, Amdocs dilihat lebih dekat dengan Israel berbanding McDonald.
5. ASTRO sepatutnya lebih peka dan membuat penjelasan segera.
6. ASTRO tidak perlu gusar kerana pemboikotan di Malaysia hanyalah bersifat ‘trend’ semata-mata. Rakyat Malaysia bergantung hidup kepada ASTRO. Selepas krisis Gaza reda, rakyat Malaysia kembali tenang.

Friday, 18 July 2014

Konservatisme di Malaysia: Olahan artikel Dr. Takiyuddin

Pengenalan
Edmund Burke merupakan ahli politik Britain dan tokoh yang penting ketika membincangkan tentang soal konservatisme. Kritikannya terhadap Revolsui Perancis banyak menyumbang kepada pemahaman kita terhadap konservatisme sehingga beliau dikenali sebagai Bapa Konservatif Moden. Menurutnya, Revolusi Perancis tercetus akibat Zaman Pencerahan yang terlalu mengagungkan penaakulan manusia. Walau bagaimanpun, penaakulan individu bersifat lemah dan boleh tersilap. Tambahan lagi manusia bukanlah makhluk yang rasional lebih-lebih lagi apabila membabitkan isu masyarakat dan negara. Manusia mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur bukan rasional seperti simbol, tabiat dan tradisi. Oleh itu kaedah tradisi yang mendasari penaakulan adalah kaedah terbaik selain telah terbukti dan dapat bertahan dalam tempoh yang lama. Burke juga mengenal pasti bahawa proses mengejar kebebasan melalui revolusi tidak akan berkembang sebaliknya akan memusnahkan keadaan yang perlu untuk mengekalkan kelangsungannya.

Konservatisme dilihat sebagai ideologi yang berminat untuk memelihara sesuatu (conserving). Ia mempertahankan sesuatu yang telah sebati atau amalan lazim dalam masyarakat sama ada status quo, institusi atau kelas. Sarjana berbeza pendapat sama ada mengelaskan konservatisme sebagai ideologi atau tidak. Dalam pandangan pertama, konservatisme dilihat sebagai suatu karaktor, bentuk pemikiran atau kecenderungan memilih sesuatu yang telah menjadi kebiasaan berbanding sesuatu yang tidak terbukti. Dalam tafsiran kedua pula melihat konservatisme dalam bentuk yang lebih sistematik iaitu suatu falsafah, ideologi, teori atau sistem kepercayaan. Selain Burke, tokoh lain yang banyak membahas tentang konservatisme adalah Russel Kirk, Samuel Huntington dan Richard Hooker. Dalam dunia politik pula, Margaret Tratcher dan Ronald Reagan merupakan antara pemimpin dunia yang selalu dikaitkan dengan konservatisme.

Prinsip-prinsip Konservatisme
Andrew Vincent (2005) membahagikan konservatisme mengikut empat ciri iaitu sifat semula jadi manusia, penaakulan dan tindakan, politik dan pemerintahan dan ekonomi. Dalam politik dan pemerintahan pula, terdapat empat prinsip konservatisme yang dianggap universal. Pertama, konservatisme berpegang kepada pendekatan preskripsi dan prinsip pertautan iaitu penekanan terhadap persoalan tradisi, waktu silam, duluan, konvensyen, institusi, keharmonian, kelangsungan dan status quo. Kedua, konservatisme mengutamakan kepentingan masyarakat atau komuniti melebihi kepentingan individu. Dalam hal ini konservatisme amat menekankan keperluan untuk memberi perhatian terhadap aspek-aspek seperti autoriti, kepimpinan, undang-undang, disiplin, dan kepatuhan. Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan, kestabilan dan kelangsungan. Ketiga, konservatisme menerima soal ketidaksamaan sosial (social inequality) dan lebih mengutamakan hierarki atau struktur dalam masyarakat. Oleh itu, kuasa dan keistimewaan terbahagi secara tidak rata. Keempat, konservatisme mengiktiraf perubahan namun percaya ianya perlu dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat. Dalam hal ini konservatisme menolak sesuatu perubahan yang radikal kerana ia boleh memusnahkan sistem yang telah lama wujud.

Konservatisme di Malaysia
Berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas, amalan konservatisme sememangnya dilihat sudah bertapak di Malaysia untuk sekian lama dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa kerangka iaitu negara, masyarakat dan politik. Dalam erti kata sebuah kerajaan dan negara, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara konservatif meskipun mendukung nilai-nilai yang bersifat universal seperti demokrasi. Walau bagaimanapun demokrasi ini mempunyai kebatasan-kebatasan tertentu. Kebatasan-kebatasan inilah yang menyebabkan Malaysia mengekalkan ciri-ciri konservatisme. Antara kebatasan ini adalah melibatkan soal tradisi seperti  raja-raja, kebudayaan dan keagamaan. Disebabkan demografik penduduk yang rencam, hal-hal ini sangat sensitif dan perlu ditangani dan diurus dengan berhati-hati. Kegagalan menguruskan perkara primodial ini telah menyebabkan berlakunya Peristiwa 13 Mei. Oleh itu, kerajaan telah menyusun semula struktur masyarakat dan menggubal undang-undang yang bersesuaian untuk menjaga dan menguruskan unsur-unsur berbentuk tradisi ini. Perkara 153 umpamanya menyentuh soal keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia. Selain itu, sistem raja berperlembagaan yang diamalkan juga menunjukkan unsur tradisi masih dipertahankan.

Dalam kerangka masyarakat pula, konsep konservatisme boleh dibahas dari sudut penerimaan masyarakat terhadap nilai sosial dan moral serta struktur hierarki yang telah ditetapkan oleh generasi terdahulu. Nilai sosial dan moral ini begitu utuh sehinggakan sebarang usaha untuk mengubahnya atau menentangnya dilihat sebagai satu ancaman yang besar. Contohnya, jika isu-isu yang menyentuh soal agama Islam dan budaya Melayu akan mendapat perhatian yang meluas dan biasanya menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Satu ketika dulu isu wahabi mendapat perhatian ramai dan menimbulkan histeria masyarakat yang menganggap apa yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan pendukung wahabi ini sesuatu yang aneh dan bercanggah dengan apa yang telah lama diterima dan diamalkan masyarakat. Selain itu, masyarakat juga memberi reaksi yang negatif apabila kedudukan raja-raja Melayu dipersoal dan menganggap sebarang kelakuan yang mempersoal raja-raja Melayu sebagai satu penderhakaan. Isu bahasa Melayu juga mendapat perhatian umum menunjukkan sebarang perubahan yang melibatkan agama, bangsa dan budaya akan ditentang kerana dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan yang telah bertapak sekian lama. Contoh-contoh ini jelas menunjukkan konservatisme yang bertapak dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat. Ia sudah menjadi satu ideologi yang dianuti tanpa disedari kerana menganggap sesuatu yang telah alam berpegang itu suatu kebiasaan dan tidak perlu diubah. Walau bagaimanapun, masyarakat tidak pula dianggap terlalu rigid dan tidak mampu berubah. Lama kelamaan polar pemikiran masyarakat masih boleh diubah jika mempunyai rasional dan kepentingan yang lebih utama. Ini terbukti dalam pindaan perlembagaan yang mengkaji semula kuasa kekebalan dan keistimewaaan raja-raja Melayu pada tahun 1993. Dalam hal ini, usaha kerajaan tidak mungkin berhasil tanpa sokongan daripada rakyat membuktikan bagaimana perubahan terhadap nilai-nilai tradisi masih diiktiraf walaupun secara beransur-ansur dan memerlukan justifikasi yang kuat.

Kerangka seterusnya merupakan politik Malaysia itu sendiri yang mengamalkan konservatisme. Kerangka ini merupakan aspek yang mempunyai hubungan yang kuat dengan negara dan masyarakat. Ini kerana negara telah dipimpin oleh sebuah rejim konservatif untuk sekian lama menyebabkan acuan pembentukan negara itu ditentukan oleh parti politik yang dominan. Hubungan antara parti politik dominan dan negara ini merupakan satu simbiosis yang sangat kuat sehingga kita terbiasa dengan adunan keduanya. Selain itu, rejim politik ini juga dapat membentuk pemikiran masyarakat kerana faktor pemautan yang wujud disebabkan oleh politik berasaskan perkauman. Aspek-aspek ini boleh dibincangkan bermula dari saat kita menuntut kemerdekaan daripada British lagi dimana UMNO/Perikatan bergabung dan memperjuangan hak kita sebagai pemilik tanah bertuah ini. Perjuangan UMNO/Perikatan ini diterima sebagai mewakili rakyat Tanah Melayu pada ketika itu dan dilihat mewakili golongan 'kanan' yang berjuang melalui meja rundingan, pro-British dan cenderung mengekalkan kelangsungan aspek tradisi kaum amsing-masing. Namun tidak dilupakan juga golongan 'kiri' yang bersifat radikal dan dianggap sebagai penentang oelh British seperti Parti Komunis Malaya (PKM) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Apabila model kerjasama Perikatan UMNO-MCA-MIC diterima, ia membentuk haluan politik Tanah Melayu yang berasaskan perkauman iaitu salah satu nilai kepada aspek tradisi yang disebut tadi. Selain itu, Perikatan ini menguatamakan keharmonian dan kestabilan sehingga menolak jalan yang keras dan drastik.

Dalam membincangkan dengan lebih mendalam dalam soal ini, adalah lebih jelas jika kita mengambil UMNO sebagai contoh parti politik konservatisme dan membahaskannya dalam konteks politik Malaysia keseluruhannya. Ini kerana UMNO merupakan parti yang dominan dalam Perikatan/Barisan Nasional (BN) manakala Perikatan/BN pula satu-satunya parti politik yang berkuasa di Malaysia sejak kemerdekaan. Ini menyebabkan peranan UMNO/BN merupakan asas pembentukan Malaysia. Sebagai parti politik Melayu, UMNO merupakan sebuah parti yang memperjuangkan hak-hak Melayu. Hubungan UMNO dan tradisi adalah begitu jelas dengan melihat penginstitusian tradisid alam kerangka politik Malaysia yang diwarisi dari susunan feudal kesultanan Melayu Melaka. Elemen-elemen seperti ketaatan, perpaduan, kedudukan institusi beraja, status agama Islam dan bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu merupakan unsur yang diperturun dan dipertahankan sehingga ke hari ini. Tradisi sebegini turut berperanan dalam pengekalan kuasa kepimpinan. Kelangsungan pemerintahan dan kepimpinan merupakan penekanan utama UMNO. Pengekalan kuasa kepimpinan UMNO juga menekankan kepada orde, kelangsungan dan kestabilan rejim. Bagi mengukuhkan lagi legitimasi tradisi, elemen tradisi turut diperkukuhkan dengan pengenalan 'tradisi ciptaan' iaitu nilai dan norma yang terbentuk melalui kaedah pengulangan bagi mengandaikan ia merupakan satu bentuk kesinambungan dari praktik waktu lampau. Contohnyam konsep tiada pertandingan, pengenalan sistem bonus dan keperluan pencalonan minimun telah diperkenalkan oleh Mahathir Mohamad.

Mahathir juga mendukung gagasan Nilai Asia yang mencerminkan penghayatan kuat terhadap ideologi konservatisme. Idea-idea seperti pemerintahan yang kuat, kesinambungan pembangunan, ketidaksesuaian demokrasi beracuan Barat, penekanan terhadap hak-hak komuniti melebihi hak individu, kepatuhan terhadap order dan autoriti, pemgembalian nilai-nilai tradisional dan mengandaikan perubahan sebagai sesuatu yang boleh menggugat proses pembangunan. Hal ini menjadikan kerajaan sebagai sebuah kerajaan yang kuat (strong state) dalam usaha menjamin kepentingan komuniti atau masyarakat melebihi kepentingan individu. Tanpa, kekuatan dan kestabilan poltiik, kemakmuran dan pembangunan sukar dijalankan.
UMNO juga dilihat sebagai parti yang paling kedepan dalam mempertahankan nilai-nilai sosial yang tidak sama rata (social inequality). Perkara-perkara dalam Perlembagaan yang menyentuh soal raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sering dijadikan agenda dan modal perjuangan UMNO. Meskpipun perjuangan ketaksamaan sosial dilihat sebagai "pejorative", namun UMNO melihat jaminan terhadap orang Melayu sebagai jamin kepada keamanan dan kestabilan negara. Oleh itu sebarang usaha yang dilakukan untuk mengubah status quo ini akan ditentang habis-habisan baik perubahan yang dikemukakan dalam parti sendiri, dalam BN atau daripada luar. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang mengatakan perjuangan UMNO yang mempertahankan unsur-unsur tradisi  ini sebagai perjuangan untuk kelangsungan UMNO sendiri. Dalam usaha untuk mengekalkan kuasa mereka, UMNO kadang kala bersifat progresif dan sanggup mengubah tradisi sepertimana yang ditunjukan semasa Krisis Perlembagaan 1966 dan 1993.

UMNO juga tidak menolak sebarang bentuk perubahan bulat-bulat namun menekankan bahawa perubahan itu mestilah dilakukan secara berperingkat. Perubahan yang drastik hanya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan yang sudah sedia ada. Dalam hal ini, pimpinan UMNO mengetahui bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menongkah arus globalisasi. Oleh itu, rakyat sudah pasti akan terdedah dengan idea-idea luar yang dianggap lebih baik dan sepatutnya diimplementasikan di Malaysia. Selain itu, sifat konservatisme yang ada pada kerajaan sering diserang oleh pemerhati luar kerana dianggap tidak berlaku adil kepada semua. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa ditekan untuk berubah dan mengikuti nilai-nilai yang yang lebih baik itu. Dalam hal ini, ada pimpinan UMNO yang melihat perubahan itu satu keperluan namun kaedahnya perlu diteliti dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan kepentingan terdahulu dan dapat diterima semua pihak. Sebagai contoh, beberapa cadangan penambahbaikan dalam agensi kerajaan telah dibentangkan sewaktu pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi seperti IPCMC, MACC dan JAC kerana Abdullah melihat perubahan ini merupakan satu keutamaan untuk meningkatkan kredibiliti agensi-agensi berkenaan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditentang oleh kabinet dan UMNO sendiri sehingga hanya dapat dilaksanakan dalam bentuk yang lebih lemah. Ini menunjukkan UMNO masih menerima perubahan namun ianya tidak boleh dilaksankan dengan drastik kerana ingin menjaga keseimbangan yang sudah terhasil dan diterima sebelum ini.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, dapatlah dihuraikan bahawa masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang konservatif. Rakyat Malaysia sangat mementingkan nilai-nilai tradisi sehingga politik perkauman telah menjadi formula terbaik dan digunapakai sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, polar pemikiran masyarakat sudah semakin hari semakin matang dengan pendedahan kepada aspek-aspek yang lebih rasional dan bersifat universal seperti kebebasan kesaksamaan. Disebabkan itulah dapat kita lihat Pakatan Rakyat yang membawa sebahagian besar aspek-aspek ini boleh menjadi pencabar yang serius kepada kerajaan BN. UMNO dan BN pula tidak boleh dianggap sebagai tidak rasional dan menolak konsep kebebasan dan kesaksamaan ini kerana UMNO/BN menekankan kepada aspek yang lebih penting iaitu kestabilan dan keharmonian masyarakat berdasarkan kepada faktor demografik dan sejarah yang dilalui selama ini.    

Statistik: Perbezaan Univariate, Bivariate dan Multivariate

Univariate analisis merupakan analisis yang melibatkan hanya satu angkubah dalam satu masa untuk menggambarkan sesuatu seperti umur dan jantina. Contohnya dalam kajian tentang jantina, kita ingin mengetahui jumlah subjek lelaki dan subjek perempuan. Dalam analisis univariate, ia biasanya melibatkan pengukuran seperti taburan kekerapan (distribution), kecenderungan berpusat (central tendency) dan serakan (dispersion). Dalam analisis taburan kekerapan, kita ingin mengetahui peratusan setiap angkubah, jangka masa yang tertentu dan data mentah untuk saiz sampel. Kecenderungan berpusat pula membolehkan kita mengkaji purata seperti min, mod dan median. Serakan pula mengukur sebaran data daripada min. Varians (variance) dan sisihan piawai (standard variation) biasanya digunakan untuk mengkaji serakan. Analisis univariate adalah bersifat deskriptif iaitu menggambarkan sesuatu keadaan.   

Bivariate pula melibatkan dua angkubah dalam satu masa secara serentak. Ia biasanya melibatkan elemen perbandingan. Contohnya "jantina" dan "mengundi parti A" masing-masing merupakan angkubah bebas dan angkubah bersandar. Jadi analisis bivariate untuk mengkaji hubungan antara dua angkubah ini. Analisis bivariate berasaskan cause and effect iaitu bagaimana angkubah bebas memberi kesan kepada angkubah bersandar. Biasanya bivariate digunakan untuk mencari hubungan sepunya (correlation) antara dua pembolehubah untuk mengkaji sejauh mana satu angkubah boleh mempengaruhi angkubah yang lain. Selain itu, analisis boleh melibatkan perbandingan kategori seperti chi-square analysis untuk mengetahui kekerapan suatu padanan kategori. Perbandingan angkubah (explanatory) juga boleh dibuat dengan membahagikan angkubah (outcome) kepada dua kategori. Selain itu, kecenderungan berpusat juga boleh digunakan dalam analisis bivariate selain correlation dan regression coefficient untuk menggambarkan taburan kedua-dua angkubah. Jika analisis univariate bersifat diskriptif, bivarate pula bersifat penjelasan (explanatory).


Analisis multivariate pula analisis yang melibatkan lebih daripada dua angkubah yang dikaji secara serentak. Jika analisis bivariate melibatkan satu angkubah bebas dan satu angkubah bersandar, multivariate pula melibatkan lebih daripada satu angkubah bebas. Jadi, analisis multivariate cuba untuk menjelaskan angkubah bersandar dengan menggunakan lebih daripada satu angkubah bebas (lebih rigorous explanation berbanding bivariate). Ketika mengkaji kesan satu angkubah bebas terhadap satu angkubah bersandar, angkubah ketiga dikawal (tidak berubah atau control variable). Analisis kemudiannya dibuat dalam bentuk jadual multivariate. Hubungan atau kesan antara angkubah bebas dan angkubah bersandar dikaji dan dianalisis sambil angkubah kawalan dibiarkan tidak berubah.

Sunday, 13 July 2014

TWINlizardary

Memperkenalkan...
Jenama baharu, semangat baharu, semangat cicak!