Republik
Singapura merupakan sebuah negara kepulauan kecil yang terletak di Asia Tenggara,
di penghujung Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai keluasan tanah seluas 710.3 km2
dan berpopulasi seramai 5.3 juta orang. Singapura merupakan sebuah negara
majmuk dengan tiga kumpulan kaum utama iaitu Cina (74.2%), Melayu (13.3%) dan
Indian (9.2%). Ia merupakan sebuah negara industri berpendapatan tinggi, pusat
komersial utama dan pusat kewangan keempat terbesar di dunia. Selain itu,
Singapura juga terkenal dengan tahap pendidikan, kesihatan dan daya saing
ekonomi yang baik. Di peringkat serantau, Singapura merupakan salah satu
daripada lima buah negara pengasas Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara
(ASEAN).
Setelah mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1963 melalui persekutuannya dengan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura
telah keluar daripada gabungan ini pada 9 Ogos 1965. Sejak itu, Singapura mula
membangunkan sistem pertahanan dan ketenteraannya bagi memenuhi keperluan
keselamatan. Dari segi sejarah, keselamatan dan pertahanan Singapura bergantung
kepada British yang memulakan pemerintahan kolonial mereka pada tahun 1819.
Pada tahun 1854, Singapore Volunteer Rifle Corps (SVRC) ditubuhkan iaitu satu
organisasi sukarela untuk menjamin tahap keselamatan dalaman. Pada tahun 1888
pula, SVRC telah berkembang menjadi Singapore Volunteer Artilery (SVA) dan seterusnya
menjadi Singapore Volunteer Corps (SVC). Pada tahun 1922, SVC telah dinamakan
sebagai Straits Settlements Volunteer Force (SSVF) yang menggabungkan askar
sukarela dari Melaka dan Pulau Pinang.
Singapura merupakan sebahagian
daripada Negeri-negeri Selat (NNS) yang dijadikan sebagai koloni Mahkota dan
diletakkan di bawah pentadbiran pejabat kolonial di London. Sejak itu, Singpura
telah berkembang menjadi sebuah pelabuahn yang maju dan kaya. Disebabkan
kepentingannya yang besar kepada British, British telah melengkapi Singapura
dengan sistem pertahanan yang termoden dan paling berkuasa pada ketika itu
sehingga digelar "Gibraltar of the East". Pangkalan Tentera Laut
Sembawang telah mula dibina pada tahun 1928 dan siap pada tahun 1938 dengan kos
pembinaannya dianggarkan mencecah £60 million. Pangkalan tentera laut ini
dilengkap dengan dry dock yang
terbesar di dunia dan dilindungi oleh 15-inch
naval guns. Walau bagaimanapun, ia gagal melindungi Singapura yang jatuh ke
tangan Jepun pada tahun 1942. Selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945,
barulah Singapura kembali di bawah penguasaan British.
Singapore Armed Forces (SAF)
akhirnya diwujudkan setelah British kembali berkuasa. Pada tahun 1957, batalion
pertama askar diwujudkan iaitu 1 SIR diikuti 2 SIR pada tahun 1962. Selepas
meninggalkan Malaysia, isu pertahanan dan keselamatan menjadi keutamaan
pemimpin Singapura yang hanya dilengkapi sistem pertahanan terhad dengan dua
batalion askar sahaja. Sejak itu proses mentransformasi sistem pertahanan dan keselamatan
dilakukan dengan giat. dimulakan dengan penubuhan Kementerian Dalam Negeri dan
Pertahanan (MID) pada bulan Ogos 1965. Program "National Service"
juga dimulakan dua tahun kemudiaan iaitu salah satu aspek sistem keselamatan
Singapura. Tentera laut dan udara juga dibangunkan sehingga berkembang menjadi
pasukan moden dan diberi nama Republic of Singapore Navy dan Republik of
Singapore Air Force. Akhirnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) diwujudkan pada tahun 1970 dan
mengalami proses pemodenan yang rancak sehingga menjadi pasukan tentera seperti
yang ada sekarang.
Sejak merdeka, pasukan keselamatan dan
pertahanan Singapura telah berkembang dengan pesatnya. Selain dilengkapi dengan
sistem pertahanan yang canggih, ia juga memiliki aset-aset ketenteraan yang
berteknologi tinggi. Dalam tempoh 10 tahun (2004-2013), berlaku peningkatan
perbelanjaan ketenteraan Singapura daripada S$8.6 billion kepada S$12.2
billion. Perbelanjaan ini mewakili 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) iaitu ke-22 di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara (SIPRI, 2013).
Menurut laporan SIPRI, Singapura merupakan negara pengimport senjata ke-5
terbesar dunia dalam tempoh 2008-2012 di belakang India, China, Pakistan dan
Korea Selatan. Adakah nilai perbelanjaan ini bererti Singapura merupakan kuasa
ketenteraan terbesar di Asia Tenggara? Sebagai sebuah negara kepulauan yang
kecil dari segi keluasan dan jumlah penduduk, peningkatan pembangunan
ketenteraan Singapura menimbulkan tanda tanya akan kerelevanannya. Pelaburan
yang besar ini sudah tentu akan menimbulkan persepsi negatif kepada negara jiran
terutama Malaysia yang mempunyai sejarah konflik yang banyak dan panjang.
Selain itu, perkembangan pertahanan Singapura berkait rapat dengan Israel
seolah-olah memperlihatkan kedudukan Singapura yang dikelilingi negara-negara
jiran yang tidak mesra dan berupaya mendatangkan ancaman yang besar. Adakah
pembelanjaan ini merupakan satu langkah berjaga-jaga hasil persepsi kerajaan
yang tidak mempercayai negara jiran?
No comments:
Post a Comment