Friday, 18 July 2014

Konservatisme di Malaysia: Olahan artikel Dr. Takiyuddin

Pengenalan
Edmund Burke merupakan ahli politik Britain dan tokoh yang penting ketika membincangkan tentang soal konservatisme. Kritikannya terhadap Revolsui Perancis banyak menyumbang kepada pemahaman kita terhadap konservatisme sehingga beliau dikenali sebagai Bapa Konservatif Moden. Menurutnya, Revolusi Perancis tercetus akibat Zaman Pencerahan yang terlalu mengagungkan penaakulan manusia. Walau bagaimanpun, penaakulan individu bersifat lemah dan boleh tersilap. Tambahan lagi manusia bukanlah makhluk yang rasional lebih-lebih lagi apabila membabitkan isu masyarakat dan negara. Manusia mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur bukan rasional seperti simbol, tabiat dan tradisi. Oleh itu kaedah tradisi yang mendasari penaakulan adalah kaedah terbaik selain telah terbukti dan dapat bertahan dalam tempoh yang lama. Burke juga mengenal pasti bahawa proses mengejar kebebasan melalui revolusi tidak akan berkembang sebaliknya akan memusnahkan keadaan yang perlu untuk mengekalkan kelangsungannya.

Konservatisme dilihat sebagai ideologi yang berminat untuk memelihara sesuatu (conserving). Ia mempertahankan sesuatu yang telah sebati atau amalan lazim dalam masyarakat sama ada status quo, institusi atau kelas. Sarjana berbeza pendapat sama ada mengelaskan konservatisme sebagai ideologi atau tidak. Dalam pandangan pertama, konservatisme dilihat sebagai suatu karaktor, bentuk pemikiran atau kecenderungan memilih sesuatu yang telah menjadi kebiasaan berbanding sesuatu yang tidak terbukti. Dalam tafsiran kedua pula melihat konservatisme dalam bentuk yang lebih sistematik iaitu suatu falsafah, ideologi, teori atau sistem kepercayaan. Selain Burke, tokoh lain yang banyak membahas tentang konservatisme adalah Russel Kirk, Samuel Huntington dan Richard Hooker. Dalam dunia politik pula, Margaret Tratcher dan Ronald Reagan merupakan antara pemimpin dunia yang selalu dikaitkan dengan konservatisme.

Prinsip-prinsip Konservatisme
Andrew Vincent (2005) membahagikan konservatisme mengikut empat ciri iaitu sifat semula jadi manusia, penaakulan dan tindakan, politik dan pemerintahan dan ekonomi. Dalam politik dan pemerintahan pula, terdapat empat prinsip konservatisme yang dianggap universal. Pertama, konservatisme berpegang kepada pendekatan preskripsi dan prinsip pertautan iaitu penekanan terhadap persoalan tradisi, waktu silam, duluan, konvensyen, institusi, keharmonian, kelangsungan dan status quo. Kedua, konservatisme mengutamakan kepentingan masyarakat atau komuniti melebihi kepentingan individu. Dalam hal ini konservatisme amat menekankan keperluan untuk memberi perhatian terhadap aspek-aspek seperti autoriti, kepimpinan, undang-undang, disiplin, dan kepatuhan. Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan, kestabilan dan kelangsungan. Ketiga, konservatisme menerima soal ketidaksamaan sosial (social inequality) dan lebih mengutamakan hierarki atau struktur dalam masyarakat. Oleh itu, kuasa dan keistimewaan terbahagi secara tidak rata. Keempat, konservatisme mengiktiraf perubahan namun percaya ianya perlu dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat. Dalam hal ini konservatisme menolak sesuatu perubahan yang radikal kerana ia boleh memusnahkan sistem yang telah lama wujud.

Konservatisme di Malaysia
Berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas, amalan konservatisme sememangnya dilihat sudah bertapak di Malaysia untuk sekian lama dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa kerangka iaitu negara, masyarakat dan politik. Dalam erti kata sebuah kerajaan dan negara, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara konservatif meskipun mendukung nilai-nilai yang bersifat universal seperti demokrasi. Walau bagaimanapun demokrasi ini mempunyai kebatasan-kebatasan tertentu. Kebatasan-kebatasan inilah yang menyebabkan Malaysia mengekalkan ciri-ciri konservatisme. Antara kebatasan ini adalah melibatkan soal tradisi seperti  raja-raja, kebudayaan dan keagamaan. Disebabkan demografik penduduk yang rencam, hal-hal ini sangat sensitif dan perlu ditangani dan diurus dengan berhati-hati. Kegagalan menguruskan perkara primodial ini telah menyebabkan berlakunya Peristiwa 13 Mei. Oleh itu, kerajaan telah menyusun semula struktur masyarakat dan menggubal undang-undang yang bersesuaian untuk menjaga dan menguruskan unsur-unsur berbentuk tradisi ini. Perkara 153 umpamanya menyentuh soal keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia. Selain itu, sistem raja berperlembagaan yang diamalkan juga menunjukkan unsur tradisi masih dipertahankan.

Dalam kerangka masyarakat pula, konsep konservatisme boleh dibahas dari sudut penerimaan masyarakat terhadap nilai sosial dan moral serta struktur hierarki yang telah ditetapkan oleh generasi terdahulu. Nilai sosial dan moral ini begitu utuh sehinggakan sebarang usaha untuk mengubahnya atau menentangnya dilihat sebagai satu ancaman yang besar. Contohnya, jika isu-isu yang menyentuh soal agama Islam dan budaya Melayu akan mendapat perhatian yang meluas dan biasanya menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Satu ketika dulu isu wahabi mendapat perhatian ramai dan menimbulkan histeria masyarakat yang menganggap apa yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan pendukung wahabi ini sesuatu yang aneh dan bercanggah dengan apa yang telah lama diterima dan diamalkan masyarakat. Selain itu, masyarakat juga memberi reaksi yang negatif apabila kedudukan raja-raja Melayu dipersoal dan menganggap sebarang kelakuan yang mempersoal raja-raja Melayu sebagai satu penderhakaan. Isu bahasa Melayu juga mendapat perhatian umum menunjukkan sebarang perubahan yang melibatkan agama, bangsa dan budaya akan ditentang kerana dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan yang telah bertapak sekian lama. Contoh-contoh ini jelas menunjukkan konservatisme yang bertapak dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat. Ia sudah menjadi satu ideologi yang dianuti tanpa disedari kerana menganggap sesuatu yang telah alam berpegang itu suatu kebiasaan dan tidak perlu diubah. Walau bagaimanapun, masyarakat tidak pula dianggap terlalu rigid dan tidak mampu berubah. Lama kelamaan polar pemikiran masyarakat masih boleh diubah jika mempunyai rasional dan kepentingan yang lebih utama. Ini terbukti dalam pindaan perlembagaan yang mengkaji semula kuasa kekebalan dan keistimewaaan raja-raja Melayu pada tahun 1993. Dalam hal ini, usaha kerajaan tidak mungkin berhasil tanpa sokongan daripada rakyat membuktikan bagaimana perubahan terhadap nilai-nilai tradisi masih diiktiraf walaupun secara beransur-ansur dan memerlukan justifikasi yang kuat.

Kerangka seterusnya merupakan politik Malaysia itu sendiri yang mengamalkan konservatisme. Kerangka ini merupakan aspek yang mempunyai hubungan yang kuat dengan negara dan masyarakat. Ini kerana negara telah dipimpin oleh sebuah rejim konservatif untuk sekian lama menyebabkan acuan pembentukan negara itu ditentukan oleh parti politik yang dominan. Hubungan antara parti politik dominan dan negara ini merupakan satu simbiosis yang sangat kuat sehingga kita terbiasa dengan adunan keduanya. Selain itu, rejim politik ini juga dapat membentuk pemikiran masyarakat kerana faktor pemautan yang wujud disebabkan oleh politik berasaskan perkauman. Aspek-aspek ini boleh dibincangkan bermula dari saat kita menuntut kemerdekaan daripada British lagi dimana UMNO/Perikatan bergabung dan memperjuangan hak kita sebagai pemilik tanah bertuah ini. Perjuangan UMNO/Perikatan ini diterima sebagai mewakili rakyat Tanah Melayu pada ketika itu dan dilihat mewakili golongan 'kanan' yang berjuang melalui meja rundingan, pro-British dan cenderung mengekalkan kelangsungan aspek tradisi kaum amsing-masing. Namun tidak dilupakan juga golongan 'kiri' yang bersifat radikal dan dianggap sebagai penentang oelh British seperti Parti Komunis Malaya (PKM) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Apabila model kerjasama Perikatan UMNO-MCA-MIC diterima, ia membentuk haluan politik Tanah Melayu yang berasaskan perkauman iaitu salah satu nilai kepada aspek tradisi yang disebut tadi. Selain itu, Perikatan ini menguatamakan keharmonian dan kestabilan sehingga menolak jalan yang keras dan drastik.

Dalam membincangkan dengan lebih mendalam dalam soal ini, adalah lebih jelas jika kita mengambil UMNO sebagai contoh parti politik konservatisme dan membahaskannya dalam konteks politik Malaysia keseluruhannya. Ini kerana UMNO merupakan parti yang dominan dalam Perikatan/Barisan Nasional (BN) manakala Perikatan/BN pula satu-satunya parti politik yang berkuasa di Malaysia sejak kemerdekaan. Ini menyebabkan peranan UMNO/BN merupakan asas pembentukan Malaysia. Sebagai parti politik Melayu, UMNO merupakan sebuah parti yang memperjuangkan hak-hak Melayu. Hubungan UMNO dan tradisi adalah begitu jelas dengan melihat penginstitusian tradisid alam kerangka politik Malaysia yang diwarisi dari susunan feudal kesultanan Melayu Melaka. Elemen-elemen seperti ketaatan, perpaduan, kedudukan institusi beraja, status agama Islam dan bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu merupakan unsur yang diperturun dan dipertahankan sehingga ke hari ini. Tradisi sebegini turut berperanan dalam pengekalan kuasa kepimpinan. Kelangsungan pemerintahan dan kepimpinan merupakan penekanan utama UMNO. Pengekalan kuasa kepimpinan UMNO juga menekankan kepada orde, kelangsungan dan kestabilan rejim. Bagi mengukuhkan lagi legitimasi tradisi, elemen tradisi turut diperkukuhkan dengan pengenalan 'tradisi ciptaan' iaitu nilai dan norma yang terbentuk melalui kaedah pengulangan bagi mengandaikan ia merupakan satu bentuk kesinambungan dari praktik waktu lampau. Contohnyam konsep tiada pertandingan, pengenalan sistem bonus dan keperluan pencalonan minimun telah diperkenalkan oleh Mahathir Mohamad.

Mahathir juga mendukung gagasan Nilai Asia yang mencerminkan penghayatan kuat terhadap ideologi konservatisme. Idea-idea seperti pemerintahan yang kuat, kesinambungan pembangunan, ketidaksesuaian demokrasi beracuan Barat, penekanan terhadap hak-hak komuniti melebihi hak individu, kepatuhan terhadap order dan autoriti, pemgembalian nilai-nilai tradisional dan mengandaikan perubahan sebagai sesuatu yang boleh menggugat proses pembangunan. Hal ini menjadikan kerajaan sebagai sebuah kerajaan yang kuat (strong state) dalam usaha menjamin kepentingan komuniti atau masyarakat melebihi kepentingan individu. Tanpa, kekuatan dan kestabilan poltiik, kemakmuran dan pembangunan sukar dijalankan.
UMNO juga dilihat sebagai parti yang paling kedepan dalam mempertahankan nilai-nilai sosial yang tidak sama rata (social inequality). Perkara-perkara dalam Perlembagaan yang menyentuh soal raja-raja, keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sering dijadikan agenda dan modal perjuangan UMNO. Meskpipun perjuangan ketaksamaan sosial dilihat sebagai "pejorative", namun UMNO melihat jaminan terhadap orang Melayu sebagai jamin kepada keamanan dan kestabilan negara. Oleh itu sebarang usaha yang dilakukan untuk mengubah status quo ini akan ditentang habis-habisan baik perubahan yang dikemukakan dalam parti sendiri, dalam BN atau daripada luar. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang mengatakan perjuangan UMNO yang mempertahankan unsur-unsur tradisi  ini sebagai perjuangan untuk kelangsungan UMNO sendiri. Dalam usaha untuk mengekalkan kuasa mereka, UMNO kadang kala bersifat progresif dan sanggup mengubah tradisi sepertimana yang ditunjukan semasa Krisis Perlembagaan 1966 dan 1993.

UMNO juga tidak menolak sebarang bentuk perubahan bulat-bulat namun menekankan bahawa perubahan itu mestilah dilakukan secara berperingkat. Perubahan yang drastik hanya akan memberi kesan yang negatif kepada kestabilan yang sudah sedia ada. Dalam hal ini, pimpinan UMNO mengetahui bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menongkah arus globalisasi. Oleh itu, rakyat sudah pasti akan terdedah dengan idea-idea luar yang dianggap lebih baik dan sepatutnya diimplementasikan di Malaysia. Selain itu, sifat konservatisme yang ada pada kerajaan sering diserang oleh pemerhati luar kerana dianggap tidak berlaku adil kepada semua. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa ditekan untuk berubah dan mengikuti nilai-nilai yang yang lebih baik itu. Dalam hal ini, ada pimpinan UMNO yang melihat perubahan itu satu keperluan namun kaedahnya perlu diteliti dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan kepentingan terdahulu dan dapat diterima semua pihak. Sebagai contoh, beberapa cadangan penambahbaikan dalam agensi kerajaan telah dibentangkan sewaktu pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi seperti IPCMC, MACC dan JAC kerana Abdullah melihat perubahan ini merupakan satu keutamaan untuk meningkatkan kredibiliti agensi-agensi berkenaan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditentang oleh kabinet dan UMNO sendiri sehingga hanya dapat dilaksanakan dalam bentuk yang lebih lemah. Ini menunjukkan UMNO masih menerima perubahan namun ianya tidak boleh dilaksankan dengan drastik kerana ingin menjaga keseimbangan yang sudah terhasil dan diterima sebelum ini.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, dapatlah dihuraikan bahawa masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang konservatif. Rakyat Malaysia sangat mementingkan nilai-nilai tradisi sehingga politik perkauman telah menjadi formula terbaik dan digunapakai sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, polar pemikiran masyarakat sudah semakin hari semakin matang dengan pendedahan kepada aspek-aspek yang lebih rasional dan bersifat universal seperti kebebasan kesaksamaan. Disebabkan itulah dapat kita lihat Pakatan Rakyat yang membawa sebahagian besar aspek-aspek ini boleh menjadi pencabar yang serius kepada kerajaan BN. UMNO dan BN pula tidak boleh dianggap sebagai tidak rasional dan menolak konsep kebebasan dan kesaksamaan ini kerana UMNO/BN menekankan kepada aspek yang lebih penting iaitu kestabilan dan keharmonian masyarakat berdasarkan kepada faktor demografik dan sejarah yang dilalui selama ini.    

No comments:

Post a Comment